Entri kali ini Mia ingin menyingkap beberapa kelebihan atau kebaikan berblog. Mia hanya nak berkongsi pengalaman Mia sepanjang berblog sebenarnya terselit beberapa kelebihan tanpa kita sedari. Maksudnya kita tidak perasan dan bila ianya berlaku, barulah kita sedar dan syukur nasib baik ada blog. Tidak semua blogger akan mengalami perkara yang sama. Ini berdasarkan apa yang Mia lalui.

Kemahiran menaip semakin cekap dan lebih cepat. Katakanlah kita ini blogger tegar. Setiap hari pasti akan update blog. Sudah tentu kita akan menaip menggunakan keyboard sekiranya menggunakan notebook atau komputer desktop. Begitu juga kepada blogger yang selalu update blog secara mobile, yang menggunakan keypad handphone atau tab untuk menaip. Apabila jari-jemari sudah terbiasa dengan menaip, secara tidak langsung ianya akan mempertingkatkan kemahiran menaip kita. Makin lama makin senang dan mudah untuk menaip.

Memupuk minat untuk membaca. Walaupun hanya dengan membaca entri di blog-blog lain, sebenarnya telah memupuk minat untuk membaca kepada diri sendiri. Membaca menambahkan ilmu pengetahuan, belajar mengenal sesuatu dan juga menjadikan kita seorang blogger yang mempunyai daya pemikiran terbuka dan meluas. Ini selalunya berlaku ketika kita melakukan aktiviti berblogwalking atau mencari maklumat tertentu. Blog begitu luas sekali pendekatannya, bukan setakat kisah peribadi atau kekeluargaan sahaja tetapi ada blog yang memberikan maklumat dan informasi, berita dalam dan luar negara, pengetahuan am, tutorial, politik, keagamaan dan lain-lain lagi. Pendek kata, apa sahaja yang terdetik di minda, sudah tentu ada blog yang berkaitan dengannya. Ini terbukti apabila kita buat carian di dalam Google, Yahoo dan Bing, kebanyakan keputusan hasil carian adalah tajuk-tajuk entri di dalam blog-blog yang berkaitan.

Kemahiran mengarang dengan berkesan. Apabila kita sentiasa membaca, sudah tentu akan membantu kita mengolah dan mengarang entri blog dengan lebih baik. Blog boleh dijadikan platform untuk kita berlatih menulis apa sahaja yang dirasakan perlu dan berkongsi pandangan dengan orang luar. Idea dan corak pemikiran kita akan lebih matang. Terkadang apabila Mia terjumpa blog yang mempunyai gaya penulisan yang bagus selalunya Mia akan bookmark dan apabila senang akan kembali semula untuk membaca entri-entri lain di dalam blog tersebut.

Celik IT. Tidak semua blogger mempunyai pengetahuan luas dalam bidang IT (Information Technologi atau Teknologi Maklumat). Ada juga yang tidak tahu langsung tentang IT. Bila dah ada blog, sudah tentu akan belajar dari mana-mana blog tutorial untuk membuat perubahan kepada design, layout, coding, template, widget di sidebar dan lain-lain lagi berkaitan blog. Kalau dahulu tidak tahu, sekarang sudah pandai. Kalau dahulu hanya update blog dengan notebook atau komputer, sekarang dah boleh update blog secara mobile. Ironinya sifat keinginan untuk mencuba sebenarnya sudah menjadi lumrah kepada blogger. Golongan blogger  paling mudah mengikuti perkembangan teknologi semasa dan menerima pembaharuan.

Ramai kawan. Bila sudah ada blog, kita seolah-olah mencipta satu komuniti sendiri dan bilangan kawan bertambah ramai dari sehari ke sehari. Di sinilah fanpage, google+, google friend connect, email, shoutbox, twitter, instagram, wechat, ruangan komen di blog dan lain-lain lagi memainkan peranan penting untuk blogger berkomunikasi dengan pengunjung dan orang luar. Komuniti bertambah meriah apabila adanya aktiviti-aktiviti blog yang menyihatkan seperti giveaway, segmen, contest, pengkomen tegar, kuiz, penghargaan kepada follower dan blog review. Setiap blog ada keunikannya tersendiri. Sudah tentu akan adanya pengikut-pengikut setia atau followers yang sentiasa mengikut perkembangan blog kita. Percayalah, pada mulanya mungkin tidak berapa ramai, lama-kelamaan akan bertambah ramai apabila kita konsisten dalam berblog.

Blog menjadi idola dan sumber inspirasi kepada yang lain. Mia paling terharu apabila nak menyentuh perkara ini. Apa tidaknya, blog Mia ini sudah menjadi rujukan pelajar-pelajar Open University Malaysia (OUM). Mia selalu terima pertanyaan dan ucapan tahniah daripada mereka. Ada juga datangnya daripada pelajar-pelajar universiti lain. Mia hanya menceritakan pengalaman belajar di OUM sambil tidak mengabaikan tanggungjawab kepada kerjaya dan keluarga. Susah senang dan cabaran yang ditempuhi, Mia coretkan ke dalam blog ini sebagai kenangan. Itulah motif asal Mia berblog. Tidak sangka pula sekarang ianya merupakan kunci kekuatan kepada blog ini. Syukur, alhamdulillah. Dari segi dunia blog pula, blog ini telah mempunyai ramai followers yang sentiasa memberikan sokongan dan menyuntik semangat Mia untuk terus berblog. Tiada apa yang menggembirakan Mia, selain daripada blog ini mendapat kunjungan daripada anda semua.

Kini sudah jelas, sebenarnya banyak kelebihan berblog tanpa kita sedari yang secara tidak langsung memberikan keuntungan jangka panjang kepada kita sebagai blogger. Ianya terlalu berharga dan tidak boleh digantikan dengan wang ringgit. Terasa cerianya hidup ini apabila sudah ada blog sendiri...

Semoga entri ini dapat membuka perspektif dan minda anda terhadap kelebihan berblog...

sayang sangat kat blog ini...