Pernah tak kita pergi ke mana-mana blog, lepas itu sedang membaca hati terasa terguris atau tersentuh kerana entri itu seperti menyakitkan hati kita? Itu baru baca sekali. Terfikir, sebenarnya apa mesej yang hendak disampaikan ya... Bila dah baca 2 kali barulah faham, kalau masih tak faham juga baca lagi. Bila faham barulah tahu mesej yang tersirat dan tersurat. Sila abaikan cara penyampaian melalui pantun atau puisi, kerana ianya memang berbentuk kiasan. Yang Mia maksudkan dan tekankan di sini ialah cara penyampaian entri yang selalu kita buat tu, adakah pengunjung dapat mesej yang betul atau salah. Kalau betul, tidak mengapalah. Kalau salah tentu akan mengundang ketidakpuashatian pengunjung. Tentu kita tidak mahu jadi macam itu, bukan? Maka berhati-hatilah dengan cara penyampaian entri di blog.

Jadi apalah salahnya kiranya kita letakkan diri kita di kaca mata pengunjung. Pura-pura berlakonlah macam tu. Baca balik entri kita itu, dalam 2 kali dan cuba bayangkan apakah perasaan pengunjung ketika membaca entri kita itu. Ataupun mintalah rakan baca entri itu dan beri pandangan. Seeloknya pastikan biar mesej entri itu sampai betul pada pengunjung.

Kesilapan yang sering dilakukan oleh para blogger tanpa disedari. Sebagai contoh.. kadang penggunaan bahasa yang mengenakan orang lain mungkin kata-kata pedas. Kedekut nak bagi backlink. Dahlah cerita tentang blog lain, apalah salahnya bagilah backlink supaya senang pengunjung tidak tercari-cari dan juga supaya tuan punya blog itu tidak berkecil hati. Usahlah terlalu memandang rendah pada blog-blog picisan. Sebab setiap blog ada kelebihannya tersendiri. 

Bukan senang nak jaga hati dan hubungan dengan pengunjung. Cara penyampaian entri hendaklah betul dan jangan sampai pengunjung tersalah tafsir. Kesan negatif akan mula muncul dan boleh merosakkan reputasi blog. Bila reputasi blog sudah terjejas, maka tiada maknalah lagi imej dan identiti blog itu.

Akhirnya pengunjung akan lari. Mungkin terasa dengan entri itu sebab terasa macam diperli. Tak pasal-pasal kita yang kena. Padahal kita tak berniat pun nak menyinggung sesiapa. Lebih baik kita cuba atasi segera dengan membetulkan cara penyampaian entri yang salah. Apa guna kotak komen? Apa guna komen dari pengunjung? Buatlah pembaharuan. Belajar dari kesilapan. Buatlah pengunjung gembira. Cara penyampaian secara santai yang tidak terlalu berat mungkin boleh membuatkan mood pengunjung sentiasa ceria dan ingin bertandang kembali. Percayalah. Jaga hubungan dengan pengunjung blog kita kerana merekalah kita boleh berada di tempat yang ada sekarang.

Maafkan Mia jika tersinggung dengan entri ini. Mia sekadar memberikan pendapat. Mungkin entri ini sesuai untuk blogger personal. Harap jangan berkecil hati sebab mungkin kita tidak sedar betapa pentingnya cara penyampaian entri yang betul. Kadang Mia pun macam itu juga. Sama-samalah kita cuba saling ingat-mengingati dan menegur dengan cara yang diplomatik supaya semua dapat berblog dengan harmoni dalam komuniti blogger.

tiba-tiba nak tanya juga, adakah cara penyampaian entri ini sampai betul pada anda?