Kini Anda Boleh Menggunakan E-Dompet BOOST Di Restoren KFC Seluruh Negara

Kuala Lumpur, 23 Mei 2019 - E-dompet tempatan Boost dan KFC mengumumkan bahawa pembayaran melalui Boost kini diterima di cawangan KFC seluruh negara, memudahkan pelanggan menikmati hidangan menjilat jari di bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri, tanpa kerumitan.



Kerjasama ini juga bertujuan memperkasakan landskap pembayaran tanpa tunai yang kian berkembang di Malaysia dengan kemudahan e-dompet.

“Pihak kami sentiasa mencari peluang bagi mengukuhkan pengalaman digital pengguna dan melengkapi gaya hidup mereka. Kerjasama dengan KFC membolehkan kami meluaskan kebolehcapaian, ketersediaan dan kemudahan tambahan agar penduduk Malaysia mengamalkan gaya hidup tanpa tunai dengan Boost, sambil menerima ganjaran tunai kembali,” kata Mohd Khairil Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Services, syarikat induk Boost.

“Kerjasama dengan rakan niaga yang sealiran seperti KFC ialah peluang berharga, membolehkan kami melangkah seiring dan membina sinergi bagi memudahkan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai di seluruh negara,” tambah Khairil.

Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan di QSR Brands (M) Holdings Bhd berkata, ”Sebagai pengendali rangkaian restoran perkhidmatan pantas terbesar di Malaysia, kami perlu peka tentang perkembangan sezaman dan mengetahui perubahan dalam kegemaran dan tingkah laku konsumer. Ini supaya kami bersedia dengan rangka kerja dan strategi sewajarnya untuk memenuhi permintaan pelanggan yang kian berubah. Dalam memenuhi peranan ini, kami telah mengintegrasikan beberapa kemudahan dan saluran pembayaran digital di restoran-restoran kami, sesuai dengan langkah tekad kami ke arah masa depan yang lebih bersepadu dan ‘seamless’ buat manfaat pelanggan.”



“Dompet digital semakin menjadi pilihan ramai kerana faedah yang ditawarkan kepada pengguna, dan selari dengan misi kami untuk selalu menawarkan perkhidmatan bernilai tambah kepada pelanggan. Kerjasama dengan e-dompet terbesar di Malaysia, Boost, memacu kelebihan kompetitif kami dalam trend tanpa tunai yang semakin berkembang. Kami berharap pelanggan kami akan menikmati pengalaman menjamu selera yang lebih meriangkan, dengan adanya kemudahan Boost di KFC.”

Bagi meraikan kerjasama baharu ini, Boost dan KFC menghadiahkan penduduk Malaysia rebat tunai RM 5 dengan pembelian minimum RM 20 menggunakan Boost di semua cawangan KFC sehingga 31 Mei 2019.

Boost merupakan e-dompet terbesar di Malaysia hari ini, dengan 4 juta pengguna dan lebih daripada 80,000 titik sentuhan jualan dalam talian dan luar talian di seluruh negara. Selain perkhidmatan “Scan & Pay” di keai runcit dan F&B, pasar malam dan ‘food truck,’ pengguna boleh melakukan pelbagai urusan, seperti membayar caj meletak kereta di atas jalan dan bil perkhidmatan, membeli tiket bas dan keretapi serta membeli tiket wayang dan menyumbang kepada NGO melalui derma tanpa tunai.


Post a Comment

4 Comments