Perkara pertama yang Mia akan buat sebaik sahaja dapat tahu kena outstation adalah terus menempah kenderaan pejabat. Orang kata, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau penuh, kenalah reda naik bas. Kisahnya, Mia perlu menghadiri event KPKM Digital Connect 2026 di Hotel Royal Signature, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 November 2026.
Nak dijadikan cerita, kenderaan pejabat memang sudah penuh. Tanpa berlengah, Mia terus beli tiket bas secara online di BusOnlineTicket.com untuk bertolak pada hari Rabu 4 November 2026, jam 8.30 pagi. Harga tiket RM51.90. Mia pergi seorang diri sahaja sebab sudah biasa. Sebelum ini pun sudah beberapa kali Mia naik bas ke Kuala Lumpur sendirian, cuma kali ini barulah tergerak hati nak berkongsi cerita di blog. Disebabkan Mia beli tiket online... sehari sebelum bertolak, Mia print tiket bas di mesin tiket Larkin Sentral dengan memasukkan tarikh, nombor tempahan dan syarikat bas ekspres. Kena caj RM3.00.

Sebaik sahaja tiba di Larkin Sentral pada hari kejadian, perkara pertama yang Mia lakukan ialah menyemak papan jadual perjalanan untuk memastikan platform bas. Mia akan menaiki bas KKKL Ekspres di platform B04. Sementara menunggu waktu bertolak, Mia sempat bersarapan di McDonald’s dengan memesan set dua biji Sausage McMuffin bersama Milo ais. Sebiji burger dimakan di situ, manakala sebiji lagi Mia simpan sebagai bekalan di dalam bas nanti.
Apabila travel secara solo begini, Mia hanya akan membawa dua buah beg sahaja, iaitu beg laptop dan beg pakaian. Mia hanya membawa pakaian yang betul-betul perlu supaya beg tidak terlalu berat untuk diangkat. Nanti di dalam bas, beg pakaian akan diletakkan di ruang simpanan atas, manakala beg laptop pula lebih selesa Mia letakkan di bahagian bawah berdekatan dengan kaki.
Setengah jam sebelum bertolak, Mia kena masuk ke ruang menunggu dan tunggu sampai bas tiba di platform.



Alhamdulillah, syukur sangat sebab dapat bas ekspres yang selesa. Perjalanan di lebuh raya PLUS menuju ke Kuala Lumpur pun berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan trafik. Sepanjang perjalanan, bas ada berhenti rehat seketika di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sebelum Mia selamat tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) tepat pukul 1.16 petang.
Suasana di dalam TBS agak meriah dengan kehadiran ramai orang. Disebabkan perut pun dah mula berkeroncong, Mia terus singgah ke Restoran Pak Hailam Kopitiam dan memesan nasi lemak bersama teh O ais lemon sebagai alas perut.
Selesai menjamu selera, Mia terus melangkah ke Premium e-Hailing Lounge untuk menempah perkhidmatan Grab menuju ke penginapan Mia, iaitu Hotel Royal Signature Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Bukit Bintang.
Keadaan jalan raya menuju ke hotel agak sesak, mungkin kerana sudah memasuki waktu puncak (peak hour) dengan jumlah kenderaan yang banyak. Tambang Grab pula berjumlah RM41.30. Namun, lambat sampai pun tidak mengapa asalkan selamat. Dalam hati memang dah tak sabar nak check-in dan berehat di bilik.
Akhirnya, lega rasanya bila dah selamat menjejakkan kaki ke hotel. Memang betul orang kata, kalau nak travel solo macam ini, diri kena berani dan hati kena sentiasa cekal!
* pengalaman travel seorang diri ke Kuala Lumpur....
0 Comments