Mencari ilmu sering dituntut dalam agama Islam kita. Mia terpanggil untuk membicarakan soal orang yang berilmu dan berpangkat biarlah jangan sombong seperti mengikut pepatah melayu kita "Ikut Resmi Padi, Makin Berisi Makin Tunduk". Tetapi acapkali kita sentiasa terjumpa dengan golongan yang berilmu tetapi sombong dan bongkak, ego dengan pangkatnya seperti "Ikut Resmi Lalang, Makin Berisi Makin Meninggi".

Jika kita amati betul-betul, jelas membayangkan betapa bagusnya kita mengikut resmi padi ini. Sentiasalah merendah diri walaupun sudah berilmu dan berpangkat tinggi. Susah betul nak jumpa bos yang seperti ini. Boleh memahami dan mempertahankan hak orang bawahannya.

Ironinya, kita sering berjumpa dengan mereka yang mengikut resmi lalang. Makin tinggi pangkatnya, makin sombong dan gila kuasa. Sedihnya sebab manusia boleh cepat berubah hati. Terlalu ego. Kalau dapat bos yang macam ini, alamat boleh lingkuplah satu-satu organisasi itu.

Mereka yang bersifat sombong dan ego itu tanpa tidak segan silu boleh menghina orang lain yang tidak disukainya walaupun orang itu pernah membantu dia menyiapkan kerja satu masa dahulu atau pernah berurusan dengan dia tetapi tiba-tiba membantah arahannya atas sikapnya yang tidak rasional terus berdendam dan memburukkan orang tersebut sama ada di depan khalayak ramai atau di belakang. Yang paling sangat mendukacitakan, mereka yang bersifat ego ini selalunya menolak kebenaran dan nasihat baik yang diutarakan kepada dirinya walaupun kebenaran itu sudah terpampang jelas di depan matanya.

Islamkah namanya itu? Perbuatan sebegitu tidak melambangkan penghayatan Islam yang sebenarnya.

Senario yang sering berlaku pada mereka yang mengikut resmi lalang. Punya ilmu yang tinggi menggunung, tetapi ego, sombong, pemarah, memperlekehkan orang bawahan, mengutuk orang sesuka hati, sentiasa fikir semua yang dilakukannya betul dan orang lain sentiasa salah dan lemah. Bangga diri dengan kedudukannya, pengetahuannya dan pangkatnya.

Sepatutnya apabila kita berilmu dan mempunyai pangkat tinggi harus membuatkan diri kita semakin dekat dengan Allah. Bersyukur dengan yang dikuniakan dengan menjalankan tanggungjawab dengan betul, adil dan saksama, sentiasa merendah diri agar dihormati dan disegani tetapi malangnya tidak… ilmu yang ada kadangkala membuatkan seseorang itu sombong dengan ketinggian ilmu yang dia ada. Perlu diingatkan bahawa ilmu itu adalah hak Allah bukan hak kita yang kekal. Bila-bila masa boleh ditarik balik. Begitu juga dengan pangkat dan harta.

Betapa beratnya dugaan kita apabila diuji dengan sifat kesombongan. Ada yang sedar dan ada pula yang tidak sedar. Ada yang boleh ditegur dan ada yang tidak boleh ditegur.

Apa-apa pun, semakin tinggi ilmu seseorang, semakin tinggi pangkatnya, semakin besarlah tanggungjawabnya, semakin kuat dugaannya, semakin mudah nampak keburukannya bila berbuat kesilapan. Kadang-kadang rasa takut pun ada, tetapi sekiranya telah ditakdirkan sedemikian hendaklah sentiasa muhasabah dan merendah diri.

nukilan Mia secara tazkirah di pagi Jumaat ini...

posted from Bloggeroid