Review Hotel Royal Signature Kuala Lumpur

Bersambung dari entri sebelumnya di SINI. Mia tiba di Hotel Royal Signature Kuala Lumpur dengan menaiki Grab pada pukul 2.46 petang, 4 November 2026. Sebaik sampai, Mia terus menuju ke lobi untuk urusan daftar masuk (check-in) bagi bilik jenis Deluxe King Room. Mia akan menginap selama 3 hari 2 malam di sini. Badan terasa agak letih sebab banyak berjalan agaknya. Maklumlah, Mia bukan selalu travel secara solo begini.

Hotel Royal Signature Kuala Lumpur merupakan sebuah hotel bertaraf 5 bintang yang terletak betul-betul di tengah kawasan tumpuan beli-belah dan hiburan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Bayangkan berada di kawasan yang sangat meriah dan happening pada waktu malam, memang seronok! Lokasinya juga sangat strategik kerana berdekatan dengan Berjaya Times Square, Plaza Low Yat, Sungei Wang Plaza, Lot 10 dan Pavilion Kuala Lumpur. Jarak berjalan kaki ke Stesen Monorel Imbi pula hanya mengambil masa kira-kira 6 minit, manakala ke Stesen Bukit Bintang sekitar 7 minit sahaja.



Sebaik melangkah masuk, keadaan dalam bilik yang luas dan selesa ini memang sangat sedap mata memandang. Rasa puas hati kalau dapat berehat lama-lama di sini. Mia ambil masa berehat seketika sebelum bersiap untuk keluar makan malam lewat petang nanti.




Bahagian dalam almari kabinet adalah perkara pertama yang Mia akan check. Semuanya lengkap tersedia termasuklah payung, penyangkut baju yang tebal, papan seterika dan seterika. Lulus dengan cemerlang, buat hati rasa cukup senang!



Menjengah ke ruang bilik air pula, kelengkapan mandian (toiletries) yang disediakan memang mencukupi dan mudah untuk digunakan. Mia memang jenis yang suka mandi air panas. Maklumlah, kalau mandi air sejuk, bila keluar sahaja dari bilik air pasti badan akan menggigil kesejukan dek suhu aircond di dalam bilik.



Pemandangan dari luar tingkap bilik ini pula dihiasi deretan bangunan pencakar langit, malah Menara Berkembar Petronas pun kelihatan dari jauh. Kebetulan pula cuaca agak mendung dan hujan renyai-renyai sewaktu Mia mula-mula tiba di hotel ini tadi.



Mia menginap di bilik nombor 1303 yang terletak di tingkat 13. Boleh tahan tinggi juga kedudukannya. Bila menjenguk ke luar tingkap dan memandang ke bawah, terasa seram sejuk dibuatnya. Gayat!



Hampir pukul 6.00 petang, Mia pun keluar dari hotel untuk mencari makan malam di kawasan sekitar. Sempat jugalah Mia snap gambar bangunan hotel ini dari arah luar sebelum berjalan kaki mencari kedai makan. Boleh tahan tinggi juga hotel ini rupanya.


Secara keseluruhannya, memang seronok menginap di hotel ini sebab suasananya sangat selesa. Maklumlah, hotel bertaraf 5 bintang di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur. Bukan selalu dapat peluang menginap di hotel mewah macam ni, jadi memang Mia nikmati betul-betul!

* so lovely...

Post a Comment

0 Comments