Fadhilat surah Al Mulk

Saturday, April 3, 2010

Fadhilat surah Al Mulk

Mukaddimah Surah al-Mulk

1. Dinamakan sebagai surah al-Mulk berdasarkan lafaz ayat yang pertama di dalam surah ini الْمُلْكُ yang bermaksud Kerajaan . Telah disebutkan di dalam hadis yang bersanad hasan bahawa Nabi saw juga telah menamai surah ini sebagai surah al-Mulk. Ia juga dinamai sebagai surah الْمُلْكُ تَبَارَكَ yang bermaksud Keagungan Kerajaan Allah swt .

2. Dinamakan juga sebagai al-Waqiyah (yang mempertahankan) dan al-Munjiyah (yang menolong dan menyelamat) kerana surah ini akan mempertahankan, membela dan menolong bagi orang yang membacanya daripada terkena azab kubur.

3. Juga dinamai sebagai surah al-Mana`ah ( yang menegah ) daripada terkena azab kubur.

4. Jumlah ayat surah ini sebanyak tiga puluh ayat mengikut kebanyakkan ulama dan tiga puluh satu ayat mengikut ulama Hijjaz. Akan tetapi kata Imam al-Jasos daripada mazhab Hanafi, telah sepakat dikalangan ulama-ulama al-Quran bahawasanya surah ini mempunyai tiga puluh ayat sahaja. Katanya lagi sekiranya ada pendapat mengatakan ayatnya berjumlah tiga puluh satu ayat maka pendapat ini telah bersalahan dengan hadis Nabi saw. Wa Allahu `Alam.

5. Kata Ibnu Abbas r.huma, “Surah al-Mulk telah diturunkan di Mekah”, maka oleh itu surah ini termasuk surah Makkiyah, yakni surah yang diturunkan di Mekah sebelum hijrah. Katanya lagi, “Telah diturunkan surah Tabarokal Mulk kepada penduduk Mekah kecuali pada tiga ayat”. Pendapat ini adalah yang telah disepati oleh semua ulama. Tiga ayat yang dimaksudkan masih dalam khilaf (perselisihan) pendapat di kalangan ulama dan ia diturunkan di Madinah.

6. Surah ini adalah surah yang ke tujuh puluh enam mengikut tertib penurunkan surah-surah al-Quran dan dikatakan surah ini turun setelah turunkan surah al-Mukminun dan sebelum diturunkan surah al-Haqqah. Ada juga pendapat mengatakan surah ini diturunkan selepas surah at-Thur sebelum surah al-Haqqah.


7. Diriwayatkan surah ini diturunkan sekalugus kepada Nabi saw. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Marduwiyah daripada Abu Hurairah r.hu, bahawasanya dia mendengar Rasulullah saw bersabda,

أنزلت عليّ سورة تبارك وهي ثلاثون آية جملة واحدة « وقال : » هي المانعة في القبور

Maksudnya : “Telah diturunkan kepadaku surah Tabarok dan ia terdiri daripada tiga puluh ayat dan diturunkan secara sekaligus. Sabda baginda lagi, Surah ini merupakan menegah dan menyelamatkan (siksa)di dalam kubur”.


Kelebihan / Fadhilat Surah al-Mulk


1. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu majah, Ibnu Durais, al-Hakim dan ia mengatakan sahih, Ibnu Marduwiyah dan al-Baihaqi, daripada Abi Hurairah r.hu, dia berkata, telah bersabda Rasulullah saw,

إِنَّ سُورَةً مِنْ الْقُرْآنِ ثَلَاثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِرَجُلٍ حَتَّى غُفِرَ لَهُ وَهِيَ سُورَةُ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

Maksudnya : Sesungguhnya di dalam al-Quran terdapat satu surah yang mempunyai tiga puluh ayat, yang mana ia akan dapat memberi syafaat bagi seseorang (yang rajin membacanya), sehingga ia mendapat keampunan, dan ia adalah surah تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ . Lafaz hadis ini daripada at-Tirmizi dengan sanad hasan. Telah berkata al-Hakim, “hadis ini sahih”.

2. Dalam hadis lain disebutkan, daripada Anas b. Malik, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud,
“Ada satu surah di dalam al-Quran yang akan membela pembacanya sehingga ia dimasukkan ke dalam syurga, iaitu surah تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ . Hadis yang diriwayatkan oleh at-Thobrani dan Ibnu Marduwiyah.

3. Daripada Ibnu Abbas r.huma, dia mengatakan bahawa telah terdapat daripada kalangan sahabat Nabi saw yang membuat khemah di sebuah tempat di tanah perkuburan dan tidaklah ia mengatahui bahawa tempat itu merupakan tanah perkuburan. Kemudian ia menyedari bahawa tempat itu adalah sebuah tanah perkuburan lalu ia telah mendengar seseorang membaca surah al-Mulk sehingga habis, Kemudia ia datang berjumpa Nabi saw dan bertanya, wahai Rasulullah, aku telah memasang khemah di sebuah tempat di tanah perkuburan dan sedangkan aku tidak mengetahui bahawa disitu adalah sebuah tanah perkuburan, tiba-tiba aku terdengar di didalam tanah kubur itu seseorang yang membaca surah al-Mulk sehingga habis. Maka jawap Rasulullah saw dengan sabdanya,

هِيَ الْمَانِعَةُ هِيَ الْمُنْجِيَةُ تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Maksudnya : “Itulah ia surah yang menegah dan yang menyelamat, yang menelamatkan pembacanya daripada siksa kubur”. Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, Abdur Razzaq, at-Thorani dan al-Baihaqi. Kata at-Tirmizi, “hadis ini bersanad hasan ghorib”.

4. Daripada Ibnu Abbas r.huma, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw telah bersabda,

لَوَدِدْتُ أَنَّهَا فِي قَلْبِ كُلِّ إِنْسَانٍ مِنْ أُمَّتِي يَعْنِي: "تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ"

Maksudnya : “Sesungguhnya aku menginginkan agar surah ini berada di dalam hati (dihafal) setiap manusia daripada kalangan umatku”. Hadis yang diriwayatkan oleh at-Thobrani, al-Baihaqi, Abdu bin Hamid dengan sanad dhoif (lemah).

5. Disebutkan hadis riwayatkan at-Thobrani, Ibnu Marduwiyah dengan sanad yang baik daripada Ibnu Mas`ud r.ha, katanya : “Barangsiapa yang membaca surah ini pada waktu malam, maka sesungguhnya ia telah melakukan dan mendapat kebaikan yang banyak”.

6. Disebutkan oleh hadis riwayat `Abdur Razzaq daripada Ibnu Mas`ud r.hu, dia berkata : “Adapun Nabi saw membaca dalam solat jumaat dengan surah al-Jumu`ah dan al-`Ala dan di dalam solat subuh pada hari jumaat dengan surah as-Sajdah dan al-Mulk”.

7. Sabda Nabi saw,

إني لأجد في كتاب الله سورة هي ثلاثون آية من قرأها عند نومه كتب له منها ثلاثون حسنة ، ومحي عنه
ثلاثون سيئة ، ورفع له ثلاثون درجة ، وبعث الله إليه ملكاً من الملائكة ليبسط عليه جناحه ويحفظه من
كل شيء حتى يستيقظ ، وهي المجادلة تجادل عن صاحبها في القبر ، وهي"تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

"
Maksudnya : “Sesungguhnya aku telah mendapati di dalam Kitabullah ada satu surah yang mempunyai tiga puluh ayat, barangsiapa yang membacanya ketika hendak tidur, akan dituliskan baginya tiga puluh ganjaran kebaikan, dan akan menghapuskan tiga puluh kejahatan, dan mengangkat tiga puluh darjat, dan akan diutuskan oleh Allah swt kepadanya seorang Malaikat yang akan menghamparkan sayap-sayapnya dan menjaga orang yang membacanya tadi sampai ia bangun, dan surah ini akan melindungi dan menjaga orang yang membacanya daripada terkena siksa di dalam kubur, dan itulah ia surah "تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ" . Hadis riwayat ad-Dailami daripada Ibnu Abbas r.huma.

8. Sabda Nabi saw lagi,

دخل رجل الجنة بشفاعة سورة من القرآن ، وما هي إلا ثلاثون آية تنجيه من عذاب القبر
"تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ".

Maksudnya : “Seseorang yang dimasukkan ke dalam syurga disebabkan syafaat daripada sesuatu surah al-Quran, dan tidaklah yang dapat memberi syafaat itu melainkan tiga puluh ayat yang telah melindungi daripada azab kubur. Hadis riwayat Ibnu Marduwiyah.
9. Sabdanya lagi,

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يقرأ { ألم تنزيل } السجدة و "تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ" كل ليلة
لا يدعها في سفر ولا حضر .

Maksudnya : “Bahawasanya Nabi saw lazimnya membaca surah as-Sajdah dan Tabarokal..(al-Mulk) pada setiap malam, dan tidaklah ia meninggalkan membacanya sama ada sedang bermusafir atau tidak”. Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Mardawiyah daripada `Aisyah r.ha. Hadis ini juga oleh Abi Na`im daripada Jabir r.hu, katanya : “Adalah baginda Nabi saw tidak akan tidur sehinggalah baginda membaca surah as-Sajdah dan al-Mulk”.

10. Disebutkan di dalam kitab Mukhtasor tarikh Damsyiq, hadith daripada sanad ahli bait (keturunan Nabi saw), daripada Ali r.hu, telah bersabda Nabi saw :

من قالهن عند وفاته دخل الجنة: لا إله إلا الله الحكيم الكريم ثلاث مرات, الحمد لله رب العالمين
ثلاث مرات ,تبارك الذي بيده الملك يحيي ويميت وهو على كل شيء قدير

.
Maksudnya : “Barangsiapa yang membaca ayat (lafaz-lafaz) ini sewaktu hendak wafat, (maka) ia akan dimasukkan ke dalam syurga, Tiada Tuhan Melainkan Allah, Yang Maha Lembut lagi Maha Mulia sebanyak tiga kali, Segala Pujian hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam sebanyak tiga kali, Maha suci Allah yang di tangan-Nyalah segala Kerajaan, Yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

11. Disebutkan juga di dalam kitab Mukhtasor tarikh Damsyiq :

كان عيسى بن مريم إذا أراد أن يحيي الموتى صلى ركعتن يقرأ في الأولى " تبارك الذي بيده الملك
" وفق الثانية " تنزيل " السجدة، فإذا فرغ مدح الله وأثنى عليه ثم دعا بسبعة أسماء: يا قديم! يا حي!
يا دائم! يا فرد! يا وتر! يا أحد! يا صمد! قال البيهقي: ليس هذا بالقوي.

Maksudnya : Adapun Nabi `Isa bin Maryam, apabila ia menghendaki untuk menghidupkan seseorang yang telah mati, (maka) baginda solat dua rakaat, pada rakaat pertama baginda membaca surah al-Mulk dan pada rakaat kedua baginda membaca surah as-Sajdah. Setelah selesai, baginda memuji dan menyanjung Allah swt dengan tujuh nama : Wahai Yang Maha Dahulu Wujud, Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berterusan dengan Sifat-SifatNya, Wahai Yang Maha Tunggal, Wahai Yang Maha Ganjil, Wahai Yang Maha Esa, Wahai Yang Maha Kekal Abadi. Kata Imam al-Baihaqi, sanad hadis ini tidak kuat. Wa Allahu `Alam.

12. Daripada dalil-dalil hadist di atas menunjukkan bahawa, seseorang yang sentiasa membaca surah ini akan dilindungi daripada azab kubur disebabkan berkah dan syafaat yang telah ditentukan Allah swt akan keistimewaan surah ini. Dengan berkah membaca surah ini juga dosa-dosa akan diampunkan Allah swt. Wa Allhu `Alam.

13. Disebutkan dalam kitab Fiqh mazhab as-Syafie (I`anatul Tholibin, Syarah al-Manhaj, al-Mughni), disunatkan untuk membaca surah al-Mulk setelah selesai membaca doa hilal setelah melihat hilal (bulan), doanya berbunyi begini :

الله أكبر، اللهم أهله علينا بالامن والايمان، والسلام والاسلام، والتوفيق لما تحبه وترضاه. ربنا وربك الله.
هلال خير ورشد - مرتين - آمنت بمن خلقك - ثلاث مرات - ويسن أن يقرأ بعد ذلك سورة تبارك

.
Maksudnya : Allah Maha Besar, Ya Allah selesaikan (urusan-urusan) kepada kami dengan kurniaan keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam, dan petunjuk kepada Engkau cintai dan Engkau redhai. Wahai Tuhan kami, dan Tuhan Kamu adalah Allah. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, ad-Darimi, at-Thorani, Ibnu Abi Syaibah, `Abdur Razzaq, Abu Ya`li dan Ibnu Hibban dengan sanad sahih. Kemudian membaca doa ini dua kali, “Hilal adalah sesuatu yang baik dan memberi petunjuk”, kemudian membaca doa ini sebanyak tiga kali, “aku beriman dengan Dia (Allah) yang telah menciptakan engkau. Kemudian membaca surah al-Mulk. Kata as-Subki (ulama mazhab as-Syafie), dibaca surah a-Mulk kerana surah ini mengandungi tiga puluh ayat dan dikaitkan dengan jumlah hari di dalam satu bulan. Dan dikatakan juga bahawa sakinah (ketenangan) turun sewaktu membacanya. Wa Allahu `Alam.

7 comments:

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

Top Supporters May 2017