Pada 5 dan 6 November 2026 yang lepas, Mia bersama Bos Mia berpeluang menghadiri Program KPKM Digital Connect 2026 - Coffee Talk With CDO - Tanya Je yang bertemakan 'Connect . Share . Transform'. Program selama dua hari satu malam yang berlangsung di Hotel Royal Signature Kuala Lumpur (review Mia di SINI) ini dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Digital (BPD), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Oh ya.. Program ini sebenarnya menjadi satu platform strategik untuk perkongsian pengetahuan, penyelarasan serta sesi libat urus warga ICT KPKM bersama Chief Digital Officer (CDO) KPKM dengan lebih mesra. Banyak perkara dibincangkan termasuklah pencapaian semasa, cabaran yang dihadapi serta peluang kerjasama dalam menjayakan agenda pendigitalan Kementerian.
Ramai juga yang hadir dan terdiri daripada Pengurus ICT dan wakil dari pelbagai Bahagian, Jabatan serta Agensi di bawah KPKM. Antara agensi kerajaan di bawah KPKM yang turut serta ialah:
- Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS)
- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF)
- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)
- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)
- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA)
- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)
Selesai sudah mukadimah program. Jom kita tengok apa aktiviti yang berlangsung pada siang hari pertama pula...
Selesai sahaja sesi pendaftaran pada pagi 5 November 2026, Mia terus dapat goodies bag yang sarat dengan macam-macam isi. Meriah sungguh bila menjenguk ke dalamnya. Siap ada snek kudapan lagi... Pergghh memang penyelamat untuk dimakan sambil mendengar taklimat supaya mata kekal segar. Yalah.. ujian paling berat bila menghadiri program ialah duduk diam mendengar taklimat yang panjang. Cuba tahan macam mana pun, rasa mengantuk pasti akan singgah juga..
Program dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti dengan Bacaan Doa seterusnya ucapan Kata Alu-Aluan Pengurus ICT dan ICTSO KPKM disampaikan oleh YBrs. Puan Faridah binti Ibrahim dan Amanat Chief Digital Officer CDO (KPKM) disampaikan oleh YBrs. Tuan Yuswan Bin Yunus.
Sambil-sambil itu, sempat lagi Mia berselfie dengan rakan-rakan ICT daripada agensi lain. Tengoklah gambar kami, ceria belaka semuanya. Peluang macam inilah yang terbaik untuk kami bertanya khabar, merapatkan networking dan mengeratkan lagi ukhuwah sesama warga ICT. Kalau bukan di program sebegini, memang susah nak berjumpa memandangkan masing-masing sibuk di agensi sendiri. Betul kan..
Mia nak highlight sedikit di sini tentang sesi minum pagi dan minum petang. Pihak hotel ada menyediakan pelbagai jenis pilihan teh, dan paling menggembirakan, teh favourite Mia pun ada sekali! Memang rasa bagai bulan jatuh ke riba bila ternampak teh Chamomile Flowers. Tanpa berlengah, terus Mia bancuh satu uncang dan nikmatinya. Terasa sangat tenang dan relax, seolah-olah hilang segala kerisauan di hati. Bahagia betul...
Selesai minum pagi, kami kembali fokus mengikuti dua sesi perkongsian ilmu yang cukup padat:
- Sesi 1 : NCII - What ICT Officers Need To Know oleh National Cyber Security Agency (NACSA)
- Sesi 2 : Getting To Know GovTech oleh Kementerian Digital
Fiuhhh.. memang banyak betul input yang Mia dapat sehinggalah sesi berakhir pada pukul 1.00 tengah hari. Ditambah pula dengan sesi soal jawab dan perkongsian pengalaman yang sangat bermanfaat untuk rujukan kerja.
Masuk sesi sebelah petang pula, berlangsung Sesi 3: Digital Pulse KPKM 2026 yang memfokuskan kepada perkongsian ringkas daripada wakil Jabatan dan Agensi tentang Achievement, Pain Point, dan Thing We Need Help With. Dari sini, dapatlah kami menyelami realiti sebenar betapa struggle-nya kerja di jabatan dan agensi dalam menjayakan agenda pendigitalan. Bukan perkara senang, apatah lagi dengan jumlah kakitangan ICT yang sangat terhad tetapi perlu menanggung beban kerja yang besar. Satu cabaran yang bukan calang-calang...
Selesai sudah sesi siang hari pertama program. Sebelum balik ke bilik hotel untuk berehat, sempat juga Mia intai-intai hadiah cabutan bertuah untuk sesi malam. Siapalah yang bertuah agaknya nanti. Harap-harap dapatlah hadiah yang Mia belum ada lagi di rumah. Amin...
* la.. la.. la.. hati banyak senang...
0 Comments