image Teleport Airasia Memperkukuh Laluan Utama Dengan Pesawat Kargo 737-800 & Penumpang A320 Ditukar Kepada Kargo - Mia Liana

Wednesday, 9 June 2021

# Informasi Semasa

Teleport Airasia Memperkukuh Laluan Utama Dengan Pesawat Kargo 737-800 & Penumpang A320 Ditukar Kepada Kargo

Perkembangan terkini yang menarik tentang Teleport, cabang logistik airasia digital, ia memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah syarikat logistik udara utama di Asia dengan perkhidmatan pesawat kargo pertamanya jenis 737-800F dan penukaran dua (2) pesawat penumpang AirAsia jenis A320 kepada pesawat kargo, tanpa tempat duduk untuk meningkatkan kapasiti kargo.


Pesawat kargo ini akan mula beroperasi di seluruh Asia pada suku tahun ketiga (Q3) 2021 dan akan beroperasi dari hab Teleport di Bangkok. Tambahan kapasiti ini akan memperkukuh jaringan laluan antara China, India dan Asia Tenggara, serta meningkatkan lagi hubungan ke dan dari pasaran jarak jauh Teleport.



Kedua-dua buah pesawat udara jenis A320 tanpa tempat duduk pula akan ditempatkan di Malaysia dan Thailand. Dari hab strategiknya iaitu Bangkok dan Kuala Lumpur, Teleport akan meneruskan jadual penerbangnya ke bandar-bandar utama seperti Hanoi, Bandar Raya Ho Chi Minh, Hong Kong, Jakarta dan Yangon. Penukaran pesawat jenis A320 di Malaysia telah dilaksanakan oleh Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat milik penuh AirAsia Group Berhad, dan oleh Thai AirAsia bagi penukaran pesawat udara jenis A320 di Thailand.

Ketua Pegawai Operasi Teleport, Adrian Loretz berkata, “Kami amat berbesar hati dengan pengembangan ini yang memperkukuh lagi perkhidmatan logistik kami di seluruh Asia. Pada akhir tahun lalu, kami telah menjangka bahawa permintaan kapasiti kargo yang semakin meningkat tidak dapat dipenuhi oleh pesawat penumpang sahaja untuk jangka masa panjang. Justeru, kami mengambil keputusan untuk menggunakan pesawat kargo khas untuk tujuan tersebut. Ini juga merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk membina kapasiti dan hubungan di laluan-laluan utama bagi menawarkan penghantaran terus kepada para pelanggan dalam masa 24 jam di seluruh Asia Tenggara.”


“Jenis pesawat yang kami gunakan amat sesuai untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri e-dagang dan kargo-kargo lain. Rancangan jangka panjang kami adalah untuk membina rangkaian yang lebih luas dengan kapasiti kargo khas ini dan kami bersedia untuk melaksanakan lebih banyak perkhidmatan penghantaran dengan pesawat kargo khas dan pesawat yang ditukar ini.”


Sejak tahun 2020, Teleport telah membangunkan rangkaian khas kargo menerusi laluan-laluan udara utama di sekitar rantau ini untuk memenuhi permintaan industri e-dagang dan kargo secara keseluruhan. Pada bulan Mei, AirAsia telah mengendalikan enam buah pesawat udara jenis A330 dan dua pesawat udara jenis A320 bagi pihak Teleport, dan merancang untuk meningkatkan jumlahnya dalam masa setahun. Menerusi pesawat kargo khas yang disewa dan penukaran pesawat penumpang kepada kargo, Teleport bakal menjadi sebuah syarikat kargo yang lebih berdaya saing dan dipercayai untuk perkhidmatan penghantaran kargo dan memperkukuh liputan Teleport di seluruh Asia.


Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan pengangkutan udara Teleport, layari https://www.teleport.asia/en/air-freight atau e-mel help@teleport.asia

No comments:

Post a Comment