OZ THE GREAT AND POWERFUL | REVIEW FILEM

Malam minggu yang lepas, Sabtu 9 Mac 2013, Mia pergi dating dengan Suami Mia tengok wayang filem Oz The Great And Powerful jam 10.35 malam di MBO Cinemas UMall Skudai. Kali terakhir tengok wayang filem Libas di TGV Cinema Jusco Tebrau. Sememangnya filem  Oz The Great And Powerful ini amat menepati citarasa Mia yang begitu menggemarkan fantasi, imaginasi dan perkara ajaib (magic). Seperti Alice in Wonderland dan Neverending Story. Ternyata Mia ini suka berangan apatah lagi kalau filem itu ada unsur grafik dan animasi. Lebih-lebih lagi kalau ada teknologi 3 dimensi (3D). Mia betul-betul kagum dengan kaedah sinematografi yang dihasilkan.

Filem Disney ini diarahkan oleh Sam Raimi, banyak memberikan kelainan dan nafas baru dalam industri filem fantasi. Tiba-tiba syok sendiri pula Mia. Banyak mesej berguna yang disampaikan sama ada dalam bentuk tersurat mahupun tersirat.

Kisah ini semuanya tentang Oz panggilan Oscar Diggs lakonan James Franco yang memainkan watak utama dalam filem ini. Seorang ahli silap mata Kansas yang kacak dan bergaya tetapi suka menipu, pentingkan diri sendiri dan kaki perempuan. Yang bestnya semua perempuan yang dijumpainya akan dipikat dengan music box dengan ayat-ayat memikat pun sama. Betul-betul lawak yang bersahaja.

Sesuatu telah berlaku ketika dikejar dan Oz berjaya melarikan diri dengan belon udara panas. Kemudian disedut ke dalam puting beliung. Semasa itulah dia termasuk ke alam lain, dunia fantasi Land of  Oz. Pengembaraan fantasi dan imaginasi telah bermula dan Mia terasa begitu teruja nak tengok apa yang akan berlaku seterusnya.

Di sini, Oz berjumpa dengan 3 orang ahli sihir perempuan yang jelita, Theodora (Mila Kunis), Evanora (Rachel Weisz) dan Glinda (Michelle Williams). Mengikut ramalan mereka Oz adalah ahli sihir lelaki yang hebat padahal sebenarnya tidak. Risau pula Mia bagaimana caranya Oz nak bantu selamatkan Land of Oz dari Evanora dan Theodora, ahli sihir yang jahat. Pada mulanya, Theodora seorang yang baik tetapi telah bertukar menjadi jahat selepas makan epal hijau yang telah disihir oleh oleh kakaknya, Evanora. Kesiannya...

Oz mempunyai pembantu peribadi, seekor monyet terbang bernama Finley. Memang cute dan suka dengan gaya lakonan Finley. Oz harus menyelamatkan Land of Oz serta rakyat jelatanya. Dalam pada itu, dia telah mendapat idea yang bernas untuk membantu Glinda. Kepakaran ahli silapnya disertakan dengan ilusi, kepintaran, tipu muslihat, daya kreatif dan sedikit ilmu sihir telah mengubah dirinya menjadi Wizard of Oz yang berkuasa. Dia menggunakan ciptaan teknologi beberapa para saintis terkemuka pada masa itu. Akhirnya, Evanora dan Thedora dapat ditumpaskan. Oz terus berubah menjadi seorang lelaki yang baik.

Pada pandangan Mia memang best filem ini, sebab seolah-olah kita berada di dalam kemelut Land of Oz. Bagaimana kerjasama daripada semua rakyat jelata yang terdiri daripada 3 puak yang lemah dapat membuahkan hasil. Banyak unsur-unsur positif yang diterapkan. Sekiranya ingin berjaya, segalanya tidak mustahil asalkan mempunyai kecekalan, dapat menangkis halangan dan berusaha untuk mendapatkannya.

tiket wayang berharga RM 12.00 seorang

Mia terlalu suka dengan filem ini sehingga panjang berjela buat review tentang filem Oz The Great And Powerful. Sesuai ditonton untuk seisi keluarga. Kepada sesiapa yang meminati filem fantasi dan magika, bolehlah cuba tengok wayang ya... anda tentu akan berpuashati.

syok sendiri.... mood berangan...