Novel Anak Penarik Beca Oleh Martias Mohd Ali



Novel Anak Penarik Beca Oleh Martias Mohd Ali

"Saya bukannya seorang novelis...  Tapi teringan nak jadi penulis novel yang hebat.. Lantaran itu saya cuba untuk terjemahkan sebuah karya telemovie saya ke dalam bentuk novel... Berpeluh saya nak menyusun ayat. Saya rasa banyak yang tak betul. Saya print tak banyak.. adalah dalam 3000 naskah. Semua dah sold out. So tak boleh nak cari lagi kat mana-mana kedai. 

Alhamdulillah dengar cerita novel ini akan jadi buku teks sekolah menengah pada tahun 2015... InsyaAllah.. doakan. Tapi kalau anda semua teringan nak baca (kepada yang belum pernah membacanya) boleh la beli PDF file (lebih kurang e-book). 

Terdapat 33 babak di dalam novel ini. So saya kasi anda semua baca 5 babak dahulu... dan kalau nak baca lebih.. silalah buat pesanan dengan e-mail ke mr_martias@yahoo.com atau message kat FB. Harga yang dkenakan adalah sebanyak RM 10 sahaja." - Martias Mohd Ali, suami Mak Dara.


Sedutan novel ANAK PENARIK BECA

. 1 .

Bandaraya Melaka. Deretan beca-beca tua menyusuri jalan, bagaikan satu perarakan kereta berhias yang disirami percikan cahaya sang mentari nian tegak meninggi. Wajah-wajah lewat usia, menagih kudrat dekad-dekad yang lalu, bagaikan tidak bermaya lagi menghabiskan putaran pedal beca yang ada di antaranya sebaya usia mereka.

Keriuhan deringan loceng-loceng beca yang dari berbagai bunyi dan nada, bagaikan seirama mencipta sebuah melodi indah, lantaran menenggelamkan pekikan suara enjin-enjin jentera moden yang melewati perarakan mereka. Namun dalam nada yang seirama itu, kedengaran pekikan bunyi hon sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam yang tampak garang dan tidak beradab, lantas sumbanglah irama indah anggota panca irama yang dianggotai oleh orkes warga penarik beca.

Kamal, seorang eksekutif muda mula mengerutkan dahi melihat perarakan beca di hadapan matanya yang tidak ubah seperti satu perlumbaan sang kura-kura di gelanggang lumba kuda. Wajahnya bengis mengumpul darah panas yang mula menghangatkan telinganya.

Tiada ruang untuk dia memintas deretan beca-beca tua yang ternyata terus tidak mempedulikan kehadirannya.

“Tepilah sikit.” Jeritan nada geramnya menjerit ke arah si penarik beca.

Namun, mereka hanya lewa menoleh ke belakang tanpa melemparkan apa-apa reaksi balas terhadapnya.

Kamal semakin geram. Jam tangannya kini melewati pukul dua belas tengah hari. Dia lantas menghentak stereng keretanya sambil membunyikan hon bingit yang panjang sebagai tanda protes tidak puas hati.

Tiba di satu selekoh, penarik-penarik beca mulai memberi ruang bagi Kamal melewati mereka. Mungkin kerana mereka sudah tidak tahan lagi dengan nada-nada sumbang pekikan bingit hon kereta Kamal yang sungguh menyakitkan telinga ataupun mungkin juga mereka sudah keletihan seharian mengayuh di bawah terikkan matahari, lantaran mengambil keputusan untuk berehat bagi mengumpul semula kudrat-kudrat yang telah hilang.

Sekali lagi Kamal  membunyikan hon panjang untuk melepas geram  dan terus memecut dari situ. Deruan enjin kereta Proton Perdana V6 itu bagaikan selari dengan deruan degupan jantung Kamal. Mungkin kelegaan kini dikecap oleh Kamal namun tidak pada dua insan warga penarik beca yang cukup tersinggung hati dengan tingkah dan perilaku Kamal.

Kadang-kadang terfikir oleh mereka, apakah ini yang berjaya diperoleh oleh kerajaan setelah menghabiskan wang jutaan ringgit demi membentuk sebuah masyarakat yang berhemah dan berbudi bahasa.

Pak Hassan yang mengayuh beca di belakang terus turun menuju ke arah Pak Jonet yang masih geram melihat aksi biadab Kamal. Wajah tuanya berkerut seribu. Gigi kuningnya mengetap bibir yang sejak dari tadi kekeringan dan kontang.

“Kalau bukan anak Deris sudah lama aku belasah budak tu.” tersembur kata-kata itu dari mulut Pak Jonet sambil  menoleh ke arah  Pak Hassan.

“Sabar jelah.” Pak Hassan menenangkan Pak Jonet.

Nafas deras Pak Jonet masih belum reda. Matanya merah  kegeraman  terus melihat kelibat kereta Proton Perdana itu yang membelah Banda Hilir hingga hilang dari pandangannya.

Benar kata Pak Jonet, kalau bukan kerana Idris sudah lama warga beca berkumpul bagi memutuskan apakah hukuman yang harus Kamal terima di atas perbuatannya itu. Namun kerana Idris jugalah mereka terpaksa mengalah.

Reda juga kemarahan Pak Jonet setelah diselaputi selawat panjang nan berulang. Mereka berlalu dari situ meninggalkan satu peristiwa yang bakal menjadi bualan dari mulut ke mulut di kalangan warga penarik beca tidak lama lagi.



. 2 .

Kg Sempang Merlimau Melaka. Kedamaian suasana perkampungan tradisional Melayu Melaka itu begitu mengasyikkan. Sebuah rumah usang Melayu Melaka, kelihatan  indah di sisi sebidang sawah yang kian menguning, nyata mewarnai kedamaian hari itu.

Mak Nah seorang warga tua duduk di serambi sambil menantikan kehadiran anak sulungnya Kamal. Wajahnya nyata resah dan gundah. Resah menanti kehadiran Kamal yang sedikit lewat dari janjinya dan gundah memikirkan apakah musibah yang bakal menimpa kini.

Sesekali terdengar helaan nafas tuanya diselang-seli bunyi paluan sang tekukur mengasah paruh pada batang pohon nyiru tepi bendang. Sejenak degupan jantungnya itu seakan seirama dengan ritma paluan paruh tekukur pada batang nyiur. Pantas dan semakin pantas.

Perasaan resah itu tiba-tiba terlerai sedikit apabila ia melihat kereta  Proton Perdana milik anaknya meluncur laju menerpa ke halaman rumah. Mak Nah bangun lalu turun ke halaman. Terukir senyuman pada bibir tua yang berkerut merkah itu seakan-akan sengaja diperbuat-buat.

Kamal keluar dari kereta dengan wajah yang geram. Ia berdiri sejenak melepas bahang nafasnya sebelum mengaturkan langkah menuju ke arah Mak Nah yang telah lama menanti kehadirannya itu.

“Susahlah macam ni mak... Kamal ni banyak kerja kat pejabat tu.” keluh Kamal dengan nada geram penuh kesal.

Kata-kata yang terlontar dari mulut Kamal itu telah di duga oleh Mak Nah. Penantian Mak Nah di dalam keadaan siap sedia menerima apa sahaja luahan hati dari anaknya itu. Kerana itu Mak Nah langsung tidak sedikit pun terkejut dengan keluh Kamal.

“Habis mak nak buat macam mana?” Sayup mata Mak Nah menatap wajah Kamal.
Ternyata pancaran mata seorang ibu mampu mencairkan kelodak kemarahan seorang yang bernama anak.

“Kan Kamal dah kata, jangan kasi ayah keluar lagi. Kalau jadi apa-apa, kan susah nanti.” Kamal bersandar pada bonet keretanya sambil menoleh ke arah bendang tanpa fokus sasar.

Mungkin disebabkan takut pada pancaran sinar mata ibunya yang mampu menghalang ia melontarkan kata-kata selanjutnya, maka dia segera melarikan diri dari renungan pancaindera ibu kesayangannya itu.

“Kau sendiri tahu yang ayah kau tu kan degil.” Nada lembut Mak Nah cuba menyejukkan hati anak sulungnya itu.

Sepanjang Mak Nah membesarkan anak-anaknya, jarang sekali dia meninggikan suaranya apatah lagi untuk memukul mereka. Itulah sifat kasih sayang sejati seorang ibu.

“Mak kena keras sikit pada ayah tu mak. Kalau hari-hari Kamal kena balik cari ayah, entah esok, entah lusa, Mal pula kena buang kerja. Kamal ni kerja makan gaji mak. Bukannya tauke.” Kamal terus melepas perasaannya itu pada nada yang agak moderator.

“Habis mak nak mintak tolong siapa lagi?” Sayu kata-kata itu keluar dari mulut Mak Nah menyebabkan Kamal mulai merasa simpati.

“Jom lah mak, karang lambat pula, Mal juga yang susah. Nak kena ambil Husin kat sekolah dulu. Nanti siapa nak bawa balik benda tu.” Kamal berjalan menuju ke dalam kereta.

Antara pengorbanan seorang pekerja dan pengorbanan seorang anak, mana yang lebih utama di waktu ini. Berkorban meninggalkan tugas bakal mencalarkan kewibawaannya menerajui syarikat namun jika ia tidak berkorban untuk keluarga nescaya Hikayat Malim Kundang akan berulang semula.

Melihatkan aksi Kamal yang tergesa-gesa, Mak Nah lantas segera masuk ke dalam kereta. Tinggallah sang tekukur terus bergendang menemani rumah usang di tepi bendang.


. 3 .

Terikkan cahaya matahari benar-benar membakar wajah Idris, seorang warga tua yang berusia akhir enam puluhan yang masih cuba mengumpul seluruh kudratnya mengayuh beca yang dinaiki oleh sepasang warga Inggeris.

Dari riak wajah pasangan Inggeris itu, jelas membayangkan yang mereka juga seakan tidak sampai hati melihat keadaan Idris sebegitu. Peluh jantan yang membasahi seluruh wajah Idris terus silih berganti menitis satu persatu merenjis jalan raya lalu hilang dimamah kehangatan terikkan sang matahari.

“Allah....” keluhan kalimah suci tersembur keluar dari mulut Idris.

Jika empat puluh tahun dahulu, keluhan sebegini langsung tidak pernah terdengar keluar dari mulut seorang lelaki yang bernama Mohd Idris Bin Ehsan atau lebih dikenali dengan panggilan Idris Beca dikalangkan penduduk Negeri Hang Tuah.

Tapi itu kisah empat puluh tahun yang lampau. Terlalu cepat masa berlalu. Namun kisah kehebatan Idris Beca terus menjadi cerita gurindam warga penarik beca kepada anak cucu mereka.

Jika Hikayat Sejarah Melayu mengangkat Hang Tuah sebagai pahlawan tersohor, berlainan pula dengan hikayat si penarik beca. Walaupun tidak pernah dibukukan, namun nama Idris Beca seperti nama seorang pahlawan agung. Baik dari bangsa Melayu, Cina mahupun India yang mengenali siapa itu Idris Beca, rata-rata mereka semua mengagungkan nama itu sebagai suatu legenda warga beca Negeri Hang Tuah.

 “Are you ok Sir?” pelancong warga Inggeris mulai menyuarakan simpatinya.

 “Ya...ya..” Idris cuba mengukir senyum dalam riak wajah menahan kesakitan.

Namun senyumannya itu tidak sedikit pun meyakinkan pasangan Inggeris tersebut, lantaran mereka mengambil keputusan untuk berhenti dan turun.

“We better stop here dear. I don’t think his going to make it.” bisik wanita Inggeris yang berusia lewat lima puluhan itu kepada pasangannya.

Walaupun niat mereka mahu menyusuri Bandaraya Melaka ini secara lebih romantik telah terbantut, namun rasa simpati yang ditunjukkan oleh mereka pasti menjadi bahan cerita bila mereka pulang semula ke negara asal mereka kelak.

“I think you better stop..... better stop.” lelaki Inggeris itu memegang tangan Idris.

Idris menoleh ke arah mereka dan terus akur pada rasa simpati yang diberikan. Baginya inilah kali pertama dia mengalah pada tugas dan tanggungjawabnya selama ini. Belum pernah selama ini dia tewas di dalam menyempurnakan rutin permintaan pelanggannya. Kadang-kadang ia sendiri sanggup memberi khidmat yang berlebihan dengan kadar upah biasa.

Namun akhirnya, dia tewas juga di gelanggang permainannya sendiri. Tewas kerana usia, tewas kerana tenaga dan tewas kerana terpaksa. Rata-rata sahabat handai mahupun keluarganya sudah tidak yakin akan kemampuan Idris menggayuh beca lagi. Entah apa yang cuba dia buktikan dan kepada siapa untuk dia buktikan, tidak siapa yang tahu.

Mereka kemudian turun di tengah-tengah kesibukan jalan raya dan kemudian membantu pula Idris menolak becanya itu ke bahu jalan. Seorang penarik beca yang secara kebetulan terlihat akan kejadian tersebut juga turut sama menolak beca Idris ke tepi.

Kebanyakan warga penarik beca di Kota Melaka ini telah masak dengan perangai Idris Beca. Entah berapa kali mereka cuba menasihati Idris supaya berhenti mengayuh, namun Idris tetap enggan melepaskan jawatannya sebegitu sahaja. Bagi dirinya, jawatan itu bakal terus kekal selagi hayatnya di kandung badan.  Bunyi keriut irama kayuhan becanya itu akan terus menjadi siulan hatinya.



. 4 .

Kamal terus memandu menyusuri Bandaraya Melaka. Beberapa penarik beca yang berada di celah-celah kesibukan bandar seakan dapat menghidu musibah yang bakal menimpa Idris Beca.

Bebola mata Kamal dan Mak Nah terus liar mencari kelibat Idris, namun hampa. Kamal tidak henti-henti memandang jam tangannya sambil memandu. Di setiap kali ia memandang jam di tangannya, setiap kali itu juga dengus nafasnya deras terhembus keluar seiring dengan hentakan genggaman tangannya pada stereng kereta.

Mak Nah membiarkan sahaja telatah Kamal seadanya kerana dia memang sudah cukup masak akan perangai anak sulungnya itu yang kini memegang jawatan sebagai pengurus besar disalah sebuah syarikat milik swasta di Bandaraya Melaka.

Bukan pertama kali perkara sebegini berlaku, sudah berulang kali dan yang pasti menjadi mangsa adalah Kamal. Pernah dulu kerana kedegilan Idris menyebabkan dia terlantar di hospital untuk beberapa hari akibat kemalangan jalan raya.

Sekejap dia menoleh ke kanan dan kemudian membalasnya ke kiri. Namun belum juga kelihatan kelibat ayahnya itu. Matahari semakin garang melemparkan sinar bahangnya. Kamal pula semakin panas bersama resah dan gelisah.

Berputar-putar di benaknya cuba mencari alasan yang harus dia berikan pada sidang mesyuarat ahli lembaga pengarah yang kini seharusnya telah bermula. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia singgah sebentar di pejabat bagi mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Tapi memikirkan hati seorang ibu tua yang telah membesarkannya dengan penuh kasih dan sayang, menyebabkan dia tidak sampai hati mahu mengecewakan permintaan ibunya itu.

“Betul-betul menyusahkan akulah orang tua ni.” Kamal merungut dalam hatinya sendiri.

Jika kata-kata itu tersembur keluar dari mulutnya, nescaya bakal gugurlah air mata jernih seorang insan bernama ibu yang terlalu mengharapkan dirinya. Namun selama ini belum pernah kata-kata sebegitu dilemparkannya.

Namun riak kekecewaan atas sikap ayahnya itu telah mencetuskan gelombang tsunami pada perasaannya. Puas dia memikirkan bagaimanakah cara untuk dia menyelesaikan masalah yang baginya terlalu kecil dan remeh. Remeh kerana sikap degil seorang lelaki yang bergelar Idris Beca.

“Kamal nak singgah kat kedai kejap mak. Nak beli barang sikit,” tersembur kata-kata itu bagaikan satu teka teki yang sukar untuk dijawab.

Kenapa di dalam agenda yang prima ini dan memerlukan tindakan yang pantas, terselit satu agenda sampingan. Lari dari topik asal dan lari dari matlamat sebenar. Mak Nah tidak tahu apakah yang perlu dia katakan selain dari berdiam diri dan menurut sahaja kehendak anaknya itu.

Lencongan kereta Perdana milik Kamal terus singgah di hadapan sebuah kedai menjual barangan logam. Tidak tercapai oleh akal pemikiran Mak Nah untuk menghuraikan pertalian antara kedai menjual barangan logam dan juga misi pencarian suaminya. Mungkin kah di dalam kesempatan sebegini dan luar dari tugas pejabat menyebabkan Kamal mengambil peluang untuk membeli barangan keperluannya.

Kamal bingkas keluar dari kereta lalu menuju ke kedai barangan logam. Mak Nah hanya melihat sahaja aksi Kamal dari refleksi cermin sisi kereta.

Tidak berapa lama kemudian, Kamal keluar semula dari kedai sambil menjinjing sebuah karung plastik dan terus masuk ke dalam keretanya.

Dia mencampakkan karung plastik yang dibelinya itu ke tempat duduk belakang. Mak Nah terus mendiamkan dirinya. Berat mulutnya untuk menegur perilaku Kamal seberat bunyi hentakan dari lontaran barangan logam yang dibeli oleh Kamal.

Hati Mak Nah kian diselaputi teka teki. Ditambah pula dengan rasa risau jika musibah menimpa suaminya yang entah di mana berada.

Berlainan pula dengan perasaan hati Kamal yang dibakar dengan api kemarahan nan marak menyala. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia membiarkan ayahnya begitu sahaja. Mungkin jika musibah menimpa barulah ayahnya itu akan sedar akan kedegilannya.

Pedal minyak makin kuat ditekan sekuat rasa kemarahannya itu. Mak Nah mula terasa cemas melihat aksi Kamal. Bertambah cemas apabila mereka seakan mahu bertembung dengan kereta-kereta dari arah bertentangan. Mak Nah mengurut dadanya bagi meredakan degupan jantungnya yang makin laju selaju pecutan kereta yang ditumpanginya.

“Perlahan sikit kereta ni Kamal, kalau betul pun marah, ingatlah mak kat tepi ni.” tegur Mak Nah pada aksi anaknya.

Kamal menoleh melihat ke arah ibunya tanda akur. Dia mula memperlahankan kelajuan keretanya. Mata Kamal sekali lagi mengimbas ruang pandang sekeliling, moga bertemu kelibat yang dicari.


“Mana ayah ni?” kedengaran keluh Kamal lagi.

“Cuba Mal pergi kat tempat ayah selalu duduk dengan kawan-kawan dia tu.” lembut suara Mak Nah cuba mengemudi pencarian tersebut.

Suasana menjadi tenang, tetapi teka teki yang bermain sebelum ini mula menerjah kembali.

“Mal beli apa tadi?” Mak Nak mula menagih jawapan dari Kamal.

“Adalah…” Ringkas jawapan Kamal lantaran mengembalikan teka teki itu semula kepada ibunya.

Bual bicara terhenti di situ. Namun misi pencarian masih belum berakhir.



. 5 .

Bunyi loceng terakhir waktu persekolahan memberi nafas lega buat pelajar-pelajar Sekolah Menengah Bukit Katil Melaka, yang sememangnya tidak sabar menantikan saat untuk pulang.

Husin yang kini di dalam tingkatan lima dan bakal menduduki peperiksaan SPM, pantas mengemaskan beg sekolahnya. Baginya pelajaran hari itu cukup membosankan dan tidak seperti selalu. Mungkin inilah yang dikatakan ‘lazy monday,’ awal minggu yang sungguh membosankan setelah bersantai di hujung minggu.

Bantal dan tilam sudah mula terbayang di depan matanya. Cepat sampai ke rumah, maka cepatlah terhurai kebosanan itu. Entah kenapa hari ini dia merasa begitu malas sekali. Sudah berkali-kali dia menguap panjang di kala guru kelas sedang mengendalikan subjek pelajaran.

Hendak dikatakan tidak cukup rehat, rasanya dia telah melepak panjang di rumah semalam. Seawal jam sepuluh malam kelmarin dia telah pun terlena diulit mimpi. Namun kelesuan hari ini cukup terasa sekali.

Kakinya terus layu melangkah bersama puluhan teman-teman persekolahannya menuju ke perhentian bas yang sentiasa  setia menanti kehadiran mereka di setiap hari persekolahan.

Namun bas sekolah yang sering membawa Husin masih belum kelihatan. Agak lewat jadual ketibaan bas berwarna oren itu hari ini. Tidak seperti lazimnya bas tersebut selalunya telah lama terpacul sebelum mereka keluar dari sekolah lagi.

Terikkan matahari begitu membahang, lantaran membuka rongga-rongga roma liang peluh anak-anak remaja sekolah itu hingga masing-masing terasa rimas menahan bau badan mereka sendiri.

Nun tidak jauh dari situ, sebuah kereta Proton Perdana meluncur menuju ke perhentian bas.  Semua mata mula memandang ke arah kereta itu.
Husin tersenyum. Dia menarik nafas panjang. Entah apakah mimpi abang Kamal hari ini untuk singgah menjemputnya pulang dari sekolah. Atau mungkin kah ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Segala persoalan itu kini mula berlegar-legar diruang benak fikirannya.

Kamal membunyikan hon keretanya beberapa kali agar Husin faham akan arahannya untuk dia terus masuk ke dalam kereta.

“Cepat Sin, abang dah lambat ni. Naik cepat.” Nada suara Kamal begitu tinggi mengarahkan Husin masuk ke dalam kereta.

Tanpa berlengah lagi, Husin membuka pintu belakang dan terus masuk tanpa banyak bicara. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi empuk bersalut kulit berwarna hitam sambil beg sekolahnya diletakkan di atas karung plastik yang telah lama menjadi satu bahan teka teki kepada Mak Nah.

“Ayah masuk hospital lagi ke mak?”. Tanya Husin sebaik sahaja kereta itu mula bergerak pergi.

Itu sahaja persoalan yang boleh difikirkannya. Tidak mungkin ada perkara lain yang mampu memaksa abangnya itu bagi menjemputnya pulang dari sekolah. Debaran perasaan bimbang bercampur dengan risau menagih untuk satu jawapan yang pasti, ya atau tidak.

Belum sempat Mak Nah menjawab pertanyaan Husin, Kamal terlebih dahulu mencelah dengan lantang. Suara deras Kamal menjawab pertanyaan Husin membayangkan seperti Husin berada jauh darinya.

“Kalau ayah masuk hospital senang aje, ramai doktor boleh tengok kan dia.” Sinis jawapan dari Kamal.

“Habis tu?” tanya Husin lagi yang menagih kepastian.

“Biasalah ayah kau tu Sin.” ringkas pembayang dari Mak Nah bagi Husin menjawab soalan dari pertanyaannya sendiri.

“Oh.... Ayah tak ada apa-apalah.” Husin mengurut-urut dadanya tanda  lega kerana andaiannya meleset sama sekali.

Mungkin kerana di -setiap kali Kamal menjemputnya pasti mereka akan menuju ke hospital di mana ayahnya terlantar kesakitan akibat bencana dari perbuatannya sendiri.

Kamal menekan lagi pedal minyak, agar momentum kelajuan keretanya dapat dirasai oleh semua. Bukan kerana mahu cepat sampai memandangkan destinasi arah tuju mereka yang sebenarnya pun masih terlalu samar.

Kereta Proton Perdana itu terus meluncur laju meninggalkan perkarangan sekolah yang sesak dengan pelajar sesi persekolahan pagi yang telah selesai.

Kamal menyambung semula leterannya. Namun Husin terus mendiamkan diri tanpa kata. Terlalu jauh berbeza perangai Husin dan Kamal.  Husin lebih lembut hati dan lebih memahami naluri ayahnya berbanding dengan Kamal yang lebih dominan dan keras hati.

Jelas dapat dilihat yang Husin lebih mewarisi sifat lembut ibunya walaupun wajahnya seiras ayah, manakala Kamal mencedok bulat-bulat sifat keras Idris Beca.

“Sin, berapa kali abang bagi tahu, kunci beca ayah tu, kenapa kau tak kunci?” Herdik Kamal pada adiknya kerana kedegilan Husin pada perintahnya itu.

“Sin dah kunci beca ayah, tapi kunci tu ayah senang aje buka.” Husin mempertahankan dirinya.

“Macam mana ayah boleh buka kunci tu, kalau tak kau yang bagi kunci pada dia?” Kamal terus menagih penjelasan Husin.

Husin hanya mendiamkan diri. Dia sudah terlalu masak dengan perangai abangnya itu.  Kamal tidak mungkin dapat menerima apa juga alasan Husin pada ketika ini. Itulah dia Kamal, satu satunya abang kandung yang amat tegar pada prinsip dan pendiriannya sendiri. Hitam katanya, hitamlah ia, putih katanya putihlah ia.

Kereta itu terus membelah kota Melaka mencari seorang “Jeneral  tua bernama Idris Beca”.

KALAU TERINGAN NAK BACA LAGI.. SILA E-MAIL SAYA di mr_martias@yahoo.com 

Post a Comment

23 Comments

  1. Sangat2 menarik..suka baca..kalau dulu dekat sekolah selalulah baca sebab ada komsas. Sekarang dah tak sekolah, dah tak ada nak baca cerita2 macam ni. Untung budak sekolah tahun 2015 tu.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum mia...bila tengok tajuk novel ni teringat kat arwah abah sbb mama anak penarik beca juga...:(

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumussalam... ooo tentu mama akan lagi tersentuh bila baca novel ini...

      Delete
  3. MENARIK :) PERJALANAN IDUP PENARIK BECA .. SUSAH PAYAH BELIAU .. SEDIH BACE

    ReplyDelete
  4. salam mia liana :)

    ayie suka tgok cover novel sebelum membaca isinya...hehe

    ReplyDelete
  5. tengah mencari cerita full , terima kasih kak mia ;D

    ReplyDelete
  6. nk terus mmbca blh email dan dapat full storu novel Anak Penarik Beca :)

    ReplyDelete
  7. nak email lah hubby mak dara..mcm best ni

    ReplyDelete